Tuesday, October 20, 2009

Norish Karman Minta Nafkah Berpatutan!



Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Norish kepada akhbar Harian Metro hari ini, Norish berkata, “Saya bukan minta lebih. Saya bukan minta menjadi kaya, tetapi minta kehidupan. Kadang-kadang mahu mengisi minyak petrol pun tiada. Jika tiada penggambaran dan tidak bekerja macam mana hendak dapat duit. Takkan hendak hidup dengan RM700. Jika terbabit dengan penggambaran, ia perlu masa yang panjang dan menyebabkan tiada ruang untuk bersama anak-anak.”

Norish diajukan pelbagai soalan oleh para wartawan selesainya prosiding mahkamah semalam. -Foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

PELAKON Norish Karman mendakwa dia kini menganggur ekoran “disingkirkan” daripada memegang watak Qistina dalam dramaSpa Q 3′.

Semua ini gara-gara watak tersebut telah diserahkan kepada pelakon lain walaupun Norish telah membuat berbagai persiapan untuk membawa watak itu bagi musim ketiga.

Antaranya, dia membeli baju baru berharga RM2,000 dan sudah membuat persediaan untuk mendalami watak Qistina selepas mendapat ’skrip Spa Q 3′ sebelum raya lagi.

Bagaimanapun, hajat Norish tidak kesampaian kerana dia digugurkan untuk musim baru.

“Saya sekarang tengah break sebab tak ada tawaran kerja lagi,” kata Norish ketika ditemui selepas prosiding mahkamah semalam.

“Sebab ramai produser dan para karyawan fikir saya terikat dengan SPA-Q. Sebenarnya saya free hingga akhir tahun ini.

“Jadi saya harap boleh war-warkan yang saya kini menganggur,” kata Norish yang juga pengacara Wanita Hari Ini (WHI).

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam menolak ketiga-tiga permohonan artis Norish Karman, 34, berhubung tuntutan nafkah sementara dan pembekuan sebahagian harta sepencarian, terhadap bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60.

Mahkamah turut menolak permohonan Norish atau nama sebenarnya, Nor’asikin Karman, 35, untuk mengetepikan perintah ex-parte (sebelah pihak) yang diperolehi Hashimuddin bagi menghalang Norish membawa anak-anaknya berjumpa dengan Mohd Luqman Mohd Amin yang didakwa sebagai kekasih pelakon itu.

Bekas suami Norish, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.

Keputusan itu yang kurang memihak kepadanya memberi satu tamparan hebat kepada Norish.

Ketika ditanya sama ada dia berpuas hati dengan keputusan mahkamah hari ini, Norish tanpa menyembunyikan perasaan kecewanya berkata:

“Saya rasa anda tahu jawapannya sebagai seorang wanita, pastinya ada sesuatu untuk saya dan anak-anak. Tapi, buat masa ini, kita akan ikut prosedur mahkamah dan saya akan failkan permohonan yang baru,” kata Norish.

Jelas Norish, peguamnya Akhbardin Abdul Kader akan fail balik tuntutan nafkah yang lebih terperinci di Mahkamah Syariah Petaling Jaya kelak.

Mahkamah menolak tuntutan harta sepencarian Norish ekoran ia sepatutnya disertakan bukti-bukti pemilikan. Antara harta sepencarian termasuk kondominium, rumah, saham dan kereta.

“Saya bukan seorang isteri yang mengikis. Saya isteri yang terlalu mempercayai suami sehingga tidak ambil tahu tentang geran tanah dan rumah mana. Memang saya tidak ada semua dokumen itu.

“Jadi memang tak semak atau menyimpan dokumen-dokumen itu kerana saya tidak sangka satu hari nanti saya akan bercerai.

“Saya memang tak ada semua itu. Kalau meminta semua bukti itu, hampir mustahil untuk saya mendapatkannya,” kata Norish.

Menurut pelakon drama ‘Kasut Tumit Tinggi’, apa yang dicarinya kini ialah suatu kehidupan yang sempurna bersama anak-anaknya.

Norish bernikah dengan Hashimuddin, 60, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis.

Mereka bercerai secara rasmi pada 15 Julai tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Haqiem Armany, 9; Hardy Amieran, 5; dan Putri Hanyz Amanda, 4.


Monday, October 19, 2009

Beyonce minta tangguh konsert




KUALA LUMPUR: Peminat penyanyi wanita antarabangsa, Beyonce, yang menanti konsert penyanyi berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad ini terpaksa menerima berita menghampakan apabila persembahan itu ditangguhkan.

Tarikh baru untuk konsert yang dijangka mendapat sambutan hangat itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Pegawai Perhubungan Media Marctensia Sdn Bhd, Goh Yoke Leng, dalam kenyataan semalam berkata, konsert itu terpaksa ditangguhkan atas permintaan Beyonce sendiri, bukannya berpunca daripada sebab lain.

“Konsert Beyonce I Am... yang sepatutnya berlangsung 25 Oktober ini akan ditunda ke satu tarikh lain yang akan diumumkan pihak pengurusan Beyonce, Music World dalam minggu ini,” katanya.

Menurutnya, peminat yang sudah membeli tiket boleh mendapatkan semula wang mereka bermula 26 Oktober hingga 14 November di ibu pejabat Ticket Axcess di Petaling Jaya.

 
template by free-web-template.blogspot.com