.jpg)
KUALA LUMPUR, 19 FEB 2008: Sah! Pengacara popular AC Mizal akhirnya pilihan muktamad Astro Ria dan mengakhiri semua spekulasi mengenai siapa yang menggantikan tempat Aznil Haji Nawawi sebagai hos utama musim keenam Akadami Fantasia (AF6).
Selain AC, pengacara kacukan Jelita, Sarimah Ibrahim, pula terpilih mengendalikan slot Diari AF yang ke udara di Astro Ria pada setiap malam, sepanjang AF6 berlangsung selama 3 bulan bermula Mac ini.
Sebelum ini, Aznil mengendalikan kedua-dua bahagian iaitu Konsert Mingguan dan juga Diari AF.
Pengumuman ini dibuat dalam program Fail Sulit AF yang ke udara secara langsung di Astro Ria dari Studio 1, Astro, Bukit Jalil, ketika ini.
Pemilihan AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, nyata menepati ramalan ramai pihak malah memenuhi cadangan Aznil sendiri yang berpendapat AC antara calon paling layak menggantikan tempatnya.
AC, anak kelahiran Muar, Johor, mula membabitkan diri dalam dunia seni pada tahun 1991 dengan mengganggotai kumpulan rap 4U2C. Selepas kumpulan itu berpecah, AC lebih menumpukan kariernya terhadap bidang lakonan menerusi siri Gerak Khas dan seterusnya berlakon filem seperti Baik Punya Cilok serta Cuci.
Bakat AC juga begitu menyerlah di pentas teater apabila beraksi dalam muzikal Puteri Gunung Ledang bersama Datin Seri Tiara Jacquelina, Adlin Aman Ramlie dan Steve Rahman Huhges. Di bidang pengacaraan pula, kredibiliti AC semakin menonjol dalam rancangan AC Di Sini selain menjadi penyampai radio Era.
Sementara itu, pemilihan Sarimah, 29, juga memenuhi citarasa ramai penonton kerana dia juga antara calon yang disebut-sebut tersenarai sebagai hos AF6.
Kebolehan Sarimah dalam bidang pengacaraan tidak dapat disangkal lagi kerana beliau sudah terbukti mengendalikan banyak acara besar bagi peringkat kebangsaan dan luar negara seperti festival filem dan anugerah muzik.
Sarimah yang meraih gelaran Anugerah Pengacara Terbaik dalam Anugerah Skrin 2005, pernah mengendalikan program seperti Anugerah Juara Lagu 2003, Anugerah Juara Lagu 2004, Galaksi Ikon Asean, Ikon Malaysia dan sekarang, Fail Sulit AF.
Artis berbintang Aquarius kacukan Melayu-Irish ini dilahirkan pada 1979 di Dublin, Ireland. Beliau pernah mendapat pendidikan awal di Emirates International School, Dubai sebelum menerima kelayakan O-Level dan A-Level. Sarimah juga mampu bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis.
Di samping itu, dia pernah membintangi filem MX3, Puteri Impian, Gerak Khas The Movie dan Mr Cinderella serta merakamkan sebuah album dan popular dengan lagu Damai serta Kini Kau Tiada.
Sebelum ini, beberapa selebriti popular dikatakan menjadi perhatian Astro Ria untuk menggantikan tempat Aznil seperti Fauziah (Ogy) Datuk Ahmad Daud, Zainal Alam Kadir, Linda Onn, Raja Azura dan Farah Fauzana.
Berikut adalah komen Pengetua AF6 dan rakan pengacara mengenai AC dan Sarimah.
Ramli MS
"Tahniah diucapkan! Selaku pengetua AF6, saya berharap AC Mizal boleh jadi diri dia sendiri. Begitu juga Sarimah. Jangan tiru gaya sesiapa. Malah, saya harap mereka yakin dan bekerja secara ikhlas. Apabila sudah jadi pengacara, secara automatik mereka sudah menjadi ahli keluarga AF6. Paling penting, kena sentiasa kerjasama."
Aznil Hj Nawawi
"Saya mahu pengacara baru AF perlu ada identiti sendiri. Kalau boleh, dia mesti lebih kreatif dari saya sebelum ini. Harus diingat, bila jadi pengacara, kerjasama antara team produksi amat perlu sekali. Malah, paling sukar sekali, hos kena perlu sentiasa ambil berat perkembangan pelajar tak kira waktu. Selain itu, pengacara AF juga boleh menimba ilmu seperti yang saya lalui sebelum ini."
Zainal Alam Kadir
"Saya rasa AC dan Sarimah akan beri persembahan yang memberangsangkan. Mereka berbeza dari segi karakter tapi punya satu persamaan iaitu tenaga yang sama untuk memikat penonton. AC kalau di pentas memang seorang aktif dan witty. Sarimah pula penuh dramatik dan pasti kita seronok melihat Diari AF6. Bagi saya juga pengumuman ini menamatkan segala spekulasi siapa pengacara AF6. Sebelum ini sudah letih saya dan ahli keluarga di kampung menafikan kepada orang yang saya bukan calonnya seperti yang digosipkan."
Ogy Datuk Ahmad Daud
"Sejak dulu lagi saya sudah cakap pada pihak press yang saya hanya nampak AC Mizal yang layak menjadi pengacara AF6. Saya lihat AC ada pengikutnya sendiri dan dia seorang yang spontan. Sarimah juga ada gaya tersendiri dan always be herself. 'Ting Tong' Sarimah memang melucukan dan dia seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Itu yang menyeronokkan dan saya sentiasa menyokong kerjaya mereka berdua. Bagi saya tiada siapa yang menjadi Aznil Kedua dan Aznil sudah pun membuktikan kehebatannya dalam 5 musim AF."




0 comments:
Post a Comment